''APA pendiriannya stesen TV di Malaysia terhadap bahasa Melayu,''
tanya seorang kawan lama, Prof. Dr. Koh Young Hun semasa dia singgah ke
Kuala Lumpur baru-baru ini. Dr. Koh adalah Ketua Jabatan Pengajian
Melayu di Universiti Hankuk, Korea.
''Saya kecewa apabila TV tidak digunakan bagi membolehkan rakyat
menguasai bahasa Melayu dengan baik,'' kata Dr. Koh yang sepuluh tahun
lalu pernah menjadi penuntut Universiti Malaya.
Sepuluh tahun lalu, Dr. Koh melahirkan kekecewaan yang sama kepada
saya. Dia tentunya mengharap, usia boleh mendewasakan sesetengah stesen
TV kita. Tetapi dia silap, TV tempatan terlupa soal mematangkan
tanggungjawab kerana mengejar
rating dan iklan.
Difahamkan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Hankuk mendapat
kemudahan parabola untuk membolehkan mereka menerima siaran TV dari
kepulauan Melayu termasuk Malaysia dan Indonesia.
Ini salah satu daripada proses belajar, berinteraksi dan berfikir
dalam bahasa Melayu, kata Dr. Koh. Kekecewaan Dr. Koh memang ada
benarnya. Bahasa bagi sesebuah masyarakat atau negara memang ada wajah
dan falsafahnya.
Dengan kata lain, dalam konteks yang lebih luas bahasa Melayu bukan
sahaja alat komunikasi tetapi boleh dimanfaatkan untuk merapatkan
jurang ras dalam negara.
Pertanyaan seorang warga luar yang mengharapkan bahasa Melayu
diangkat ke martabat selayaknya menerusi TV negara ini sebenarnya telah
lama dibangkitkan sebelum ini.
Banyak program TV terutama drama yang berlatarkan masyarakat Kuala
Lumpur, bahasa Melayu menjadi begitu kucar-kacir. Presiden Persatuan
Linguistik Malaysia, Prof Dr. Nik Safiah Karim sebelum ini pernah
membangkitkan isu TV menjadi pemangkin bahasa rojak zaman ini.
Kita boleh bertanya, siapa kata bahasa Melayu yang pada teorinya
menjadi alat perpaduan kaum dapat digunakan di semua tempat dan situasi?
Buktinya ketika drama dalam slot
Cerekarama di TV3 sudah
menjadi begitu elitis; dari segi premis sosial, manusia dan bahasa
perantaraan mereka, bahasa Melayu sudah tidak relevan lagi.
Menjadi atau berpura-pura menjadi elitis tidak ada salahnya. Tetapi
tentunya kelihatan sangat bermasalah kalau elitis itu sekadar tidak
menuturkan bahasa Melayu yang betul dan enak didengar.
Dialog dalam banyak drama ini adalah rojak Melayu Inggeris yang
semacam mencipta satu identiti baru bagi slot ini. Apabila drama TV
tempatan tidak boleh dipertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa,
siapa lagi yang hendak diharapkan?
Apakah ini yang dikatakan realisme daripada tafsiran longgarnya yang difahami oleh kebanyakan orang untuk mendekati realiti?
Lalu, apakah realiti sosial yang kucar-kacir harus ada kelangsungan
ke TV kerana ini juga satu realiti? Barangkali inilah kefahaman kita
tentang realisme seperti yang dipaparkan dalam
Cerekarama, Pop Kuiz Melodi dan sebagainya?
Tetapi sebenarnya yang menjadi persoalan bukanlah penggunaan bahasa
Melayu yang bertaraf rojak. Tentunya kalau ada alasan yang munasabah,
drama boleh sahaja seratus peratus bahasa slanga atau lingua franca bagi
menepati lanskap sosial sesebuah masyarakat.
Bagaimanapun, kekecawaan seperti yang ditimbulkan oleh orang-orang
seperti Dr. Koh bertolak daripada sikap tidak peka sesetengah pihak.
Pada hal bahasa Melayu yang baik tidak merosakkan karya berkenaan.
Kerana itu yang menjadi persoalan ialah sikap yang mengambil
kesempatan daripada kelonggaran tertentu supaya program TV boleh
berbahasa rojak. TV mempunyai pengaruh yang cukup luas terhadap
masyarakat.
Malah TV boleh memintas cara berfikir dan bertindak dalam sesetengah
keadaan. Tetapi malangnya dalam riuh rendah rakyat diajak membina jati
diri, sesetengah stesen TV pula telah semakin hilang jati diri.
Banyak program hiburan seolah-olah membawa penonton ke kaki lima dengan bahasa slanga makyah dan
rockers yang keterlaluan.
Apakah ini perubahan yang dimahukan? Atau apakah ini tandanya satu
proses yang pesat sedang berlaku dalam masyarakat yang diangkat oleh
media TV?
Masih ingat lagi dengan slot
Potret Pekerti dalam format hitam putih dan
Drama Minggu Ini
(DMI) di RTM? Jangan perkecilkan drama-drama dalam slot ini kerana ia
telah melakukan tanggungjawab yang selayaknya. Dengan segala macam
kekurangan,
Potret Pekerti dan DMI memberikan nilai tempat kepada bahasa Melayu.
Sesekali memandang ke belakang bukan bererti mundur asalkan mempunyai hasrat yang murni.
dipetik dari utusan Malaysia.
baca dan fahamlah...siapakah yang harus dipersalahkan?