''Saya kecewa apabila TV tidak digunakan bagi membolehkan rakyat menguasai bahasa Melayu dengan baik,'' kata Dr. Koh yang sepuluh tahun lalu pernah menjadi penuntut Universiti Malaya.
Sepuluh tahun lalu, Dr. Koh melahirkan kekecewaan yang sama kepada saya. Dia tentunya mengharap, usia boleh mendewasakan sesetengah stesen TV kita. Tetapi dia silap, TV tempatan terlupa soal mematangkan tanggungjawab kerana mengejar rating dan iklan.
Difahamkan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Hankuk mendapat kemudahan parabola untuk membolehkan mereka menerima siaran TV dari kepulauan Melayu termasuk Malaysia dan Indonesia.
Ini salah satu daripada proses belajar, berinteraksi dan berfikir dalam bahasa Melayu, kata Dr. Koh. Kekecewaan Dr. Koh memang ada benarnya. Bahasa bagi sesebuah masyarakat atau negara memang ada wajah dan falsafahnya.
Dengan kata lain, dalam konteks yang lebih luas bahasa Melayu bukan sahaja alat komunikasi tetapi boleh dimanfaatkan untuk merapatkan jurang ras dalam negara.
Pertanyaan seorang warga luar yang mengharapkan bahasa Melayu diangkat ke martabat selayaknya menerusi TV negara ini sebenarnya telah lama dibangkitkan sebelum ini.
Banyak program TV terutama drama yang berlatarkan masyarakat Kuala Lumpur, bahasa Melayu menjadi begitu kucar-kacir. Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr. Nik Safiah Karim sebelum ini pernah membangkitkan isu TV menjadi pemangkin bahasa rojak zaman ini.
Kita boleh bertanya, siapa kata bahasa Melayu yang pada teorinya menjadi alat perpaduan kaum dapat digunakan di semua tempat dan situasi?
Buktinya ketika drama dalam slot Cerekarama di TV3 sudah menjadi begitu elitis; dari segi premis sosial, manusia dan bahasa perantaraan mereka, bahasa Melayu sudah tidak relevan lagi.
Menjadi atau berpura-pura menjadi elitis tidak ada salahnya. Tetapi tentunya kelihatan sangat bermasalah kalau elitis itu sekadar tidak menuturkan bahasa Melayu yang betul dan enak didengar.
Dialog dalam banyak drama ini adalah rojak Melayu Inggeris yang semacam mencipta satu identiti baru bagi slot ini. Apabila drama TV tempatan tidak boleh dipertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa, siapa lagi yang hendak diharapkan?
Apakah ini yang dikatakan realisme daripada tafsiran longgarnya yang difahami oleh kebanyakan orang untuk mendekati realiti?
Lalu, apakah realiti sosial yang kucar-kacir harus ada kelangsungan ke TV kerana ini juga satu realiti? Barangkali inilah kefahaman kita tentang realisme seperti yang dipaparkan dalam Cerekarama, Pop Kuiz Melodi dan sebagainya?
Tetapi sebenarnya yang menjadi persoalan bukanlah penggunaan bahasa Melayu yang bertaraf rojak. Tentunya kalau ada alasan yang munasabah, drama boleh sahaja seratus peratus bahasa slanga atau lingua franca bagi menepati lanskap sosial sesebuah masyarakat.
Bagaimanapun, kekecawaan seperti yang ditimbulkan oleh orang-orang seperti Dr. Koh bertolak daripada sikap tidak peka sesetengah pihak. Pada hal bahasa Melayu yang baik tidak merosakkan karya berkenaan.
Kerana itu yang menjadi persoalan ialah sikap yang mengambil kesempatan daripada kelonggaran tertentu supaya program TV boleh berbahasa rojak. TV mempunyai pengaruh yang cukup luas terhadap masyarakat.
Malah TV boleh memintas cara berfikir dan bertindak dalam sesetengah keadaan. Tetapi malangnya dalam riuh rendah rakyat diajak membina jati diri, sesetengah stesen TV pula telah semakin hilang jati diri.
Banyak program hiburan seolah-olah membawa penonton ke kaki lima dengan bahasa slanga makyah dan rockers yang keterlaluan.
Apakah ini perubahan yang dimahukan? Atau apakah ini tandanya satu proses yang pesat sedang berlaku dalam masyarakat yang diangkat oleh media TV?
Masih ingat lagi dengan slot Potret Pekerti dalam format hitam putih dan Drama Minggu Ini (DMI) di RTM? Jangan perkecilkan drama-drama dalam slot ini kerana ia telah melakukan tanggungjawab yang selayaknya. Dengan segala macam kekurangan, Potret Pekerti dan DMI memberikan nilai tempat kepada bahasa Melayu.
Sesekali memandang ke belakang bukan bererti mundur asalkan mempunyai hasrat yang murni.
dipetik dari utusan Malaysia.
baca dan fahamlah...siapakah yang harus dipersalahkan?
0 comments:
Catat Ulasan